Encik Zainal terkejut membaca notis dari Standard Chartered yang mahu merampas keretanya jika beliau gagal melunaskan tunggakan 4 sen dalam tempoh dua minggu.
SINGAPURA - TIADA apa yang dapat dibeli dengan duit 4 sen.
Tetapi, 4 sen itu amat berharga kepada pemilik kereta Honda Stream yang ingin dikenali sebagai Encik Zainal.
Ini kerana gara-gara tunggakan ansuran hanya empat sen yang disahkan pihak bank berpunca daripada kesilapan teknikal, beliau dicerut kebimbangan kehilangan keretanya bernilai $60,000 di pasaran.
Kesemuanya bermula selepas bank yang memberi pinjaman keretanya itu, Standard Chartered, menghantar surat amaran tarik keretanya jika beliau gagal melunaskan tunggakan 4 sen itu.
Surat bertarikh 2 Mac lalu itu memberi Encik Zainal, 50-an tahun, seorang pekerja penerbitan, tempoh selama 14 hari untuk berbuat demikian.
Ansuran bulanannya ialah $916.04 dan perlu dibayar pada hari pertama setiap bulan.
Bagi bulan ini, saya tekan butang mesin AXS bagi bayaran $916. Saya ingat baki empat sen dikumpul dan dibayar lain kali.
Tetapi, sehari selepas itu saya terkejut apabila menerima notis mendesak saya membayar 4 sen dalam masa 14 hari atau kereta saya dirampas.
Peraturan apa ini? Kalau saya tak bayar ansuran bulanan selama dua atau tiga bulan mungkin munasabah tetapi ini hanya 4 sen! gelak beliau.
Menurut Encik Zainal, inilah kali pertama beliau menerima surat amaran sedemikian sejak sudah 30 tahun memandu dan menukar banyak kereta.
Biasanya pihak bank atau firma kredit akan menelefon atau menghantar surat peringatan jika saya bayar lambat. Mereka tidak terus hantar surat amaran mahu tarik kereta seperti Standard Chartered! tegas beliau.
Diminta mengulas, Haji Ismail Yusof, 46 tahun, yang lebih dikenali sebagai Dr Kereta, menyifatkan tindakan bank berkenaan bukan saja tidak munasabah, malah tidak masuk akal.
Pihak bank atau firma kredit biasanya kirim surat peringatan dan akan hanya menghantar notis merampas kereta sebagai langkah terakhir selepas dua atau tiga bulan tak bayar.
Tindakan menggertak pelanggan secara ini memang tak perlu dan tidak wajar, tambahnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar