Selasa, 25 Februari 2014

Browse » home» » » » » » » » Rita Rudaini Belum Sedia Cari Pengganti Aidil

Rita Rudaini Belum Sedia Cari Pengganti Aidil


PETALING JAYA – Sejak bercerai pada 5 September lalu dengan pemain pertahanan Johor Darul Takzim, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, pelakon Rita Rudaini mengakui belum bersedia untuk mencari pengganti bekas suaminya itu.

Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 37, berkata, dia ingin memberi fokus kepada perniagaan produk kecantikan miliknya bersama rakan kongsi, Siti Saleha Idris iaitu RS Collagen dan RS Magic Slym yang baharu ditubuhkan Mac lalu selain sibuk dengan kerja-kerja lakonan.

“Selepas bercerai, saya tidak pula mencari pengganti dan tak ada pun lelaki yang nak datang risik dekat saya. Mereka takut kot (ketawa).

“Tetapi buat masa ini biarlah saya fokus kepada kerja, perniagaan dan anak-anak terutamanya kerana mereka masih kecil dan perlu diberi perhatian lebih,” katanya.

Hasil perkahwinan Aidil, 26, dan Rita, pasangan itu dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun.

Tambah Rita, kegagalan rumah tangganya itu juga tidak membuatkan dia serik untuk memiliki suami buat kali kedua namun akan memastikan lelaki yang dipilih itu akan menyayangi kedua-dua anak lelakinya.

Ditanya adakah cita rasanya masih lagi kepada lelaki muda, Rita berkata, dia percaya kekuatan sesebuah pasangan suami isteri bukan terletak pada usia dan tidak pernah meletakkan had umur lelaki yang ingin mendekatinya.

“Lelaki muda atau tua, sama sahaja. Sekiranya ditakdirkan berkahwin lagi, saya mahu lelaki itu kuat pendirian dan menyayangi anak-anak lebih daripada saya sayang mereka.

“Saya pun tak berani nak cakap suka yang muda atau tua. Sekali dapat umur 30 tahun lebih muda macam mana? Macam dulu, saya sukakan lelaki yang matang dan aleh-aleh dapat lelaki muda (Aidil),” selorohnya.

Sementara itu, Rita berkata, pergolakan rumah tangganya yang mengambil masa beberapa tahun sehinggalah bergelar janda telah mematangkan dirinya dan pada masa sama mengajar dia untuk menangani masalah dengan lebih bijak.

“Jika dulu, setiap kali ada masalah, mulalah fikiran saya serabut. Alhamdulillah, selepas bercerai, saya dapat rasa yang diri ini lebih senang menguruskan masalah.

“Mana yang tak penting kita abaikan sahaja, baru fikiran tak kusut,” tuturnya. – mStar Online

Tidak ada komentar:

Posting Komentar